Thursday, August 12, 2010

Yey yey..RAMADHAN DATANG LAGI!

“ Salam..

Nama saya sya’ban..Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya iaitu Ramadhan akan datang mengunjungi anda tidak lama lagi bersama isterinya iaitu Rezeki & kedua-dua anaknya iaitu Sahur & Iftar.. Mereka akan ditemani oleh ketiga-tiga cucunya iaitu Rahmat, Barakah & Keampunan..Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan menaiki pesawat penerbangan Eidul Airlines.. Hargai mereka & anda akan mendapat pahala yang berlipat ganda!!InsyaAllah..Amin”

* * * * *

Salah satu daripada mesej-mesej menarik yang diterima sehari sebelum menjelangnya bulan Barakah Ramadhan Kareem. Kita sememangnya bertuah dikurniakan satu bulan yang khusus yang sarat dengan ganjaran hasil daripada amalan-amalan yang kita usahakan. Memang bertuah dan memang bertuah. Ibarat durian runtuh bagi umat Islam. “ Maka nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan?”. Sayang sekali andai kita tidak ingin merebut peluang ini. Walaupun ganjaran itu bukanlah berbentuk duit mahupun asset yang boleh dinilai pada pandangan manusia, tetapi wajib kita ingat simpanan kita untuk hari kemudian ( Yaumul Mizan),adalah lebih penting daripada pesona dunia yang sementara ini. Banyak kelebihan bulan Ramadhan yang dikurniakan Allah pada umat Nabi Muhammad ini. Antaranya ialah :

PUASA

Dalam hadith qudsi ada menyebut:

“ Seluruh amalan perbuatan anak cucu Adam menjadi milik-Nya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa menjadi milik-Ku dan Aku yang akan membalasnya”

-Mausu’at al-hadis an-Nabawi as-Syarif

“Demi zat yang mengusai jiwaku! Nescaya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah SWT daripada minyak misik (kasturi)!”

-Hadis qudsi

Sudah pastinya puasa itu sendiri mempunyai natijah kepada diri setiap orang yang berpuasa. Andai kita menghayati hikmah di sebalik puasa kita akan sedar bahawa bulan inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Bahagianya dapat hidup dalam bulan ini!

Antara keutamaan yang seharusnya dikecapi oleh setiap individu yang berpuasa ialah:

1- Membentuk insan bertaqwa

Firman Allah yang bermaksud : “ Hai orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya KAMU BERTAQWA”

2- Penebus dosa

Sabda Rasulullah yang bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosanya yang lalu”

3- Beroleh Kegembiraan

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan apabila mendapatkannya. Iaitu gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu dengan Tuhannya dengan hasil puasa yang dilakukannya.

4- Dianugerahkan pintu syurga yang khas ( al-Rayyan).

Inilah masanya untuk memenuhkan masjid dengan niat iktikaf

* * * * *

Allahu Akbar, bukankah Allah itu Maha Pemurah?Kita yang hina ini, hanya mampu bersujud sahaja kepada-Nya tanpa mampu sedikitpun untuk membalas dengan harta yang kita miliki. Bukannya susah. Tundukkan dirimu kepadaNya. Itulah yang Dia inginkan kepada hambanya. Jadikan bulan Ramadhan sebagai turning point untuk kita membetulkan diri andai salah haluan sebelum ini. Jadikan bulan ini juga sebagai tangga untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada-Nya. Jadikan cinta kepadaNya cinta yang utama melebihi segalanya. Bahagia rasanya bila melihat semua berlumba-lumba beribadah kepadanya. Dia sememangnya Tuhan yang layak disembah. Banyak lagi kelebihan bulan Ramadhan yang belum disebutkan. InsyaAllah andai diberi kesempatan akan disambung. Sekiranya tidak rujuklah kepada yang pakar. Apa yang penting:

Hidup ini biarlah dengan Redha-Nya

Selamat Beribadah!!!




Thursday, August 5, 2010

SUKAN : FA COMMUNITY SHIELD?


Sekali lagi piala ini menjadi rebutan antara dua kelab gergasi English Premier League (EPL) antara Manachester United dan Chelsea. Walaupun EPL semakin cuba diatasi popularitinya oleh La Liga Spain, namun EPL masih lagi mampu bertahan sebagai liga paling popular di dunia. Dengan pelbagai kontroversi dan pembelian pemain-pemain baru yang berkualiti, EPL masih lagi bertakhta di setiap peminat bola sepak dunia. Berbalik kepada Community Shield, dua kelab gergasi ini melihat piala ini sangat penting kerana kebiasaannya kelab yang berjaya mendapatkan piala ini, memberikan persembahan terbaik di liga domestic seterusnya menjulang EPL. Dua tahun lalu, Man. United berjaya merangkul piala ini seterusnya dinobatkan sebagai johan EPL pada tahun tersebut. Tetapi pada tahun yang lepas, Chelsea dengan barisan pemain terbaiknya seperti Lampard dan Drogba berjaya mengalahkan Man. United yang kehilangan Ronaldo seterusnya merangkul juara EPL.

Tahun ini menemukan cerita yang sama, dengan mempamerkan dua kelab bola sepak yang sama, tetapi skrip yang berbeza. Chelsea yang melepaskan ramai pemain-pemain tua seperti Joe Cole yang berpindah ke Liverpool dan Michael Ballack yang berhijrah ke Bayer Leverkusen mengharungi perlawaan pemanas badan dengan penuh kepiluan. Antara keputusan pra-musim yang dicatatkan oleh Carlo Ancelotti sebagai pengurus pasukan – Chelsea 1-3 Ajax Amsterdam, Chelsea 1-2 Frankfurt, Chelsea 1-2 Hamburg. Jadi, diharapkan dengan kemasukan Benayoun dan pemain tengah muda Ramires dapat menaikkan semula semangat Chelsea untuk mengharungi perlawanan getir menentang Man. United Ahad ini.

Drogba menjadi taruhan Chelsea

Lain pula cerita dengan Man. United. Tidak ramai pemain utama yang dilepaskan Sir Alex Ferguson kecuali beberapa pemain yang gagal menyerlah seperti Zoran Tosic. Namun, pengurus ini boleh berbangga dengan pembelian paling popular iaitu Javier Hernandez dari kelab Chivas. Walaupun kebanyakan perlawanan persahabatan pra-musim dibarisi pemain muda, namun kelab ini mengharunginya dengan penuh bergaya. Antara keputusan yang dicatatkan Man. United sepanjang perlawanan pra-musim- Man. United 3-1 Celtic, Man. United 5-2 MLS All Star, Man. United 2-3 Chivas. Perlawanan terakhir menonjolkan kehebatan Hernandez dengan menjaringkan gol bagi membantu Chivas mengalahkan kelab barunya. Keadaan ini membuatkan pengurus Alex Ferguson tidak sabar untuk menggandingkan Rooney dengan Hernandez.

Hernandez meraikan gol ketika mengalahkan kelab barunya Man. United

Jadi, perlawanan tumpuan minggu ini adalah perebutan FA Community Shield antara dua kelab gergasi Eropah iaitu Man. United dan Chelsea. Siapakah pilihan anda?

Peringatan buat mereka yang beragama Islam, kita penonton bola tapi kita bukan peninggal solat fardhu. Kita juga pemain bola, tetapi dengan aurat yang tertutup.

~ SELAMAT MENONTON ~