Wednesday, February 17, 2010

TIPS MERUBAH DIRI



Hati dalam diri seseorang bolehlah diumpamakan sebagai “raja” dalam kerajaan diri. Sebagai raja, hati akan membuat keputusan dan mengeluarkan perintah untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh rakyat-rakyatnya yang terdiri daripada seluruh anggota badan. Rasulullah SAW dalam sabdanya menegaskan bahawa jika hati baik, maka baiklah seluruh anggota badan dan begitulah sebaliknya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Apabila baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan. Sebaliknya apabila daging itu jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu adalah sekeping hati.” (Riwayat al-Bukhari no. 52).



Hati sangat berkuasa, ianya perlu dikoreksi sentiasa.


Namun “raja” (hati) tentu mendapat nasihat daripada “bendahara”nya. Bendahara dalam diri manusia ialah akal. Akallah yang memberi input untuk hati membuat keputusan dan arahan. Jadi, tidak cukup hati sahaja baik,akal yng menasihati hati juga mesti baik. Jika tidak, akal akan memberi nasihat yang jahat kepada hati. Kata orang, fakir itu pelita hati.


Dalam diri manusia ada nafsu yang secara tabiinya (nature) memang jahat. Nafsu merupakan musuh dalam diri yang jika tidak dikawal dan dilatih mampu mempengaruhi hati dan menguasai akal. Walaupun begitu, nafsu tidak boleh dihapuskan. Ia adalah sebahagian daripada diri kita yang sangat penting untuk kelangsungan hidup. Apa jadi kalau nafsu makan tidak ada? Kita tidak akan ada tenaga untuk bekerja. Apa jadi kalau nafsu seks tidak ada? Keturunan akan terhenti, generasi akan terhapus.

Jadi nafsu memang diperlukan. Ia amat penting pada manusia. Tapi cabaran buat kita ialah bagaimana mendidik, melatih dan menguruskan hati itu. Inilah yang diperingatkan oleh Imam al-Ghazali yang mengupamakan nafsu sebagai kuda liar-jika mampu dijinakkan, ia akan menjadi kuda tunggangan yang baik.


TAHU, MAHU DAN MAMPU


Untuk mengubah akal, hati dan nafsu, seseorang mesti melalui tiga proses secara tertib dan berkesinambungan. Akal mestilah diproses agar tahu. Hati diproses untuk mahu. Dan nafsu diproses untuk mampu.

Untuk tahu, akal perlu diberi ilmu pengetahuan. Ilmu itu ialah ilmu wahyu (revealed knowledge). Ilmu wahyu akan memberi jawapan kepada soalan yang tidak akan dapat dijawab oleh manusia seperti dia datang dari mana, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi selepas kehidupan ini? Namun ini tidaklah bermakna ilmu akal (acquired knowledge) tidak penting.ilmu wahyu membentuk keperibadian manakala ilmu akal membentuk kemahiran dan keterampilan.


Ilmu sahaja tidak dapat merubah sikap manusia. Proses menanam ilmu pada akal, mestilah diiringi dengan proses menyuburkan keyakinan dalam hati. Hal ini kerana pengetahuan yang berlegar di akal sahaja tidak akan dapat merubah sikap. Belum ada kemahuan untuk berubah di dalam hatinya. Pengetahuan pada akal, kemahuan pada hati.

Kekuatan kemahuan lebih kuat pengaruhnya daripada kekuatan pengetahuan untuk menghasilkan perubahan. Oleh sebab itu, proses pembelajaran (menanam ilmu) mesti diikuti oleh proses pendidikan (menyuburkan keyakinan). Inilah pendidikan hati. Hati diproses agar mahu berubah. Untuk mahu hati diberi input keyakinan (iman).

Setelah tahu dan mahu manusia mesti dilatih agar mampu merubah sikapnya. Untuk mampu, nafsu perlu dilatih dan dibiasakan dengan amalan-amalan baik secara rutin. Nafsu umpama kuda liar yng perlu dijinakkan untuk menjadi tunggangan yang baik. Nafsu bukan untuk dihapuskan, tetapi dilatih agar mampu melaksanakan kebaikan.




Ketiga-tiga proses di atas (tahu, mahu dan mampu) tidak boleh dijalankan secara mendadak. Ini kerana perkembangan elemen dalaman (mental, spiritual dan emosi) sama seperyi perkembangan fizikal manusia. Kedua-duanya tertakluk kepada sunnatullah (law of nature) berkembang secara bertahap-tahap. Fitrah tabii manusia tidak dibentuk sekelip mata ataupun secara instant. Perubahan sikap memerlukan masa. Umpama pertumbuhan sebatang pokok ; ia bermula dengan penanaman biji benih, percambahan akar, tunas, batang, ranting, daun, putik dan akhirnya berbuah.




Perubahan sangat penting bagi menjana masyarakat idaman